Sejarah Tulisan Jawi

Sejarah Tulisan Jawi

Tulisan jawi mula berkembang di Tanah Melayu sejak kedatangan Islam pada abad 10 menerusi aktiviti perdagangan Arab yang datang berniaga di kepulauan Melayu. Perkembangan tulisan jawi di Nusantara adalah seiring dengan penyebaran agama Islam yang  menjadi pegangan orang Melayu (Hashim Hj Musa, 1995). Selain menjalankan aktiviti perniagaan, peniaga Arab juga menyebarkan dakwah Islam. Antara kesan penyebaran dakwah Islamiah ialah penggunaan huruf-huruf Arab sebagai medium untuk berkomunikasi di Tanah Melayu (Hamdan Abd Rahman,1999). Tulisan yang diperkenalkan kepada penduduk Nusantara adalah huruf-huruf  Arab atau sekarang ini dikenali dengan nama tulisan Jawi. Pada abad ke sebelas hingga ke empat belas, tulisan jawi digunakan dengan meluas di seluruh Tanah Melayu dan Nusantara (Mohd Alwee Yusoff, 2005). Orang Melayu yang celik huruf pada waktu itu merupakan golongan yang celik jawi.
Berdasarkan sejarah Bahasa Melayu (Kang Yong Seock, 1990) perkataan “Jawi” (جاوي) berasal daripada bahasa Arab “Jawah” ((جاوة. Kemudian, orang Melayu menyelaraskan perkataan-perkataan Arab tersebut agar sesuai digunakan dalam Bahasa Melayu. Berdasarkan catatan Sejarah Melayu (Hashim Hj Musa, 1999) perkataan Jawi adalah diadaptasikan oleh Bahasa Melayu daripada tulisan Arab.  Kemudiannya dibuat beberapa penyelesaian dan tambahan agar kegunaan tulisan ini menjadi mantap sebagai medium asas komunikasi bertulis seperti yang kita fahami sekarang ini. Berdasarkan kata adjektif dalam Bahasa Arab,  perkataan Jawah atau Jawi merujuk kepada semua bangsa dan kaum yang menjadi peribumi di Asia Tenggara malah merangkumi seluruh rumpun bangsa Melayu, Campa, Patani, Aceh, Jawa, Minangkabau, Mandailing, Sunda, Bugis, Banjar, Lombok, Filipina dan negeri-negeri lain (Mohd Alwee Yusoff, 2005).
Oleh sebab itulah, maka para ulama dari Asia Tenggara sering meletakkan nama al-Jawi sebagai gelaran, pada hujung nama mereka sekalipun mereka terdiri daripada suku bangsa berlainan seperti Syeikh Abdul Rauf al-Fansuri al-Jawi, Syeikh Abdul Samad al-Falimbani al-Jawi, Syeikh Daud al-Fatani al-Jawi dan lain-lain (Ismail Hussein, 1981). Selain itu, kata Jawi digunakan juga untuk ungkapan-ungkapan seperti bahasa Jawi, masuk Jawi dan bangsa Jawi. Sampai kini orang-orang Vietnam menamakan orang di Kepulauan Nusantara sebagai orang Jawa (Amat Juhari Moain, 1996). Istilah “tulisan Jawi” hanya dikenali di Malaysia, Singapura, Thailand Selatan dan Brunei Darussalam dan Sri Lanka (bagi rumpun Melayu). Tulisan jawi di Indonesia terkenal dengan nama “tulisan Melayu Huruf Arab” atau “tulisan Melayu Arab”.
Penggunaan jawi (atau apa sahaja istilah yang semakna dengannya) digunakan di banyak tempat di Asia Tenggara. Tulisan Jawi bukan hanya digunakan oleh orang Melayu untuk bahasa Melayu tetapi juga oleh suku-suku bangsa Melayu yang lain. Antara suku bangsa Melayu yang menggunakannya ialah Campa di Indo-China, Patani di selatan Thailand, Jawa, Banjar, Bugis, Aceh, Minangkabau, Bengkulu dan juga lain-lain (Lutfi Abas et. al, 1979). Bagi tulisan Jawa yang menggunakan huruf Arab dikenal dengan nama atau tulisan Pegon, yang sekarang ini masih dipakai atau digunakan untuk menulis kitab-kitab terutama yang digunakan di pesantren-pesantren atau pondok-pondok pengajian agama di Jawa. Contohnya ialah kitab Tafsir al-Ibriz dan al-Munjiyat bahasa Jawa (Amat Juhari Moain 1996: 18).

2.2       Tulisan Jawi Dalam Sejarah Bahasa Melayu

            Ahli Sejarah menamakan Bahasa Melayu yang dituturkan pada zaman dahulu sebagai Bahasa Melayu kuno dan perkembangan bahasa itulah yang mewujudkan bahasa Melayu. Para sarjana seperti Swift, Parkinson,  Nelson, Wilson dan lain-lain (Sidek Saniff et.al , 2007) mempercayai bahawa bahasa Melayu kuno itu sudah mempunyai huruf dan sistem tulisan sejak zaman awal pertumbuhannya (Syed Naquib Al Atas, 1990). Tulisan kuno ini, yang dipercayai seakan-akan tulisan Rencong seperti yang terdapat di Sumatera dan tulisan Kawi yang terdapat di Jawa, dikatakan berasal daripada tulisan Kampuchea purba. Tulisan itu tidak dapat kita warisi kerana bahan yang dijadikan kertas pada zaman itu tidak bertahan lama dan orang-orang dahulu kurang berminat untuk menyimpannya. Lebih-lebih lagi beberapa malapetaka sejarah seperti pembinasaan secara sengaja telah dilakukan oleh kalangan istana terhadap segala sesuatu yang berbau Hindu di peringkat awal perkembangan Islam di kepulauan ini (Hashim Hj Musa, 1999).
            Oleh sebab kewujudan huruf dan sistem tulisan bahasa Melayu pada zaman awal pertumbuhannya itu, sekadar anggapan ahli sejarah, dapat dirumuskan bahawa bahasa Melayu bukan bahasa yang penting tetapi “hanyalah merupakan satu daripada lebih kurang 200 bahasa dalam kepulauan Melayu sahaja”.  Perkembangan bahasa Melayu kuno dapat dianggap bermula pada abad ketujuh Masehi (Hashim Hj Musa, 1997). Ada empat batu bersurat tinggalan abad ini. Batu bersurat yang pertama, dijumpai di Kedukan Bukit di kaki Bukit Siguntang, bertarikh 683 Masehi; batu bersurat yang kedua dijumpai di Talang Tuwo, Palembang, bertarikh 684 Masehi; batu bersurat yang ketiga dijumpai di Karang Brahi, Jambi, bertarikh 686 Masehi; dan batu bersurat yang keempat ditemukan di Kota Kapur, Bangka, bertarikh 686 Masehi juga. Kesemua batu bersurat itu tertulis dengan huruf Pali (Pallava) iaitu huruf orang Pallava di selatan India (Hashim Hj Musa, 1992,1992). Bahasa yang terdapat pada batu-batu bersurat itu terlalu jauh berbeza daripada  bahasa Melayu kini. Para sarjana menganggapnya sebagai contoh bahasa Melayu kuno. Sebuah batu bersurat lagi dijumpai di Gandasuli, Jawa Tengah. Batu bersurat itu ditulis dengan huruf Nagiri. Huruf ini berasal dari utara India dan mempunyai hubungan rapat dengan agama Buddha. Batu bersurat itu dianggap sebagai penyata “betapa jauhnya pengaruh bahasa Melayu ketika itu, sehingga sudah sampai ke tengah-tengah Pulau Jawa, satu tempat yang bahasa daerahnya amat berlainan sama sekali”.

            Batu-batu bersurat di atas memperlihatkan bahawa bahasa Melayu kuno menggunakan tulisan yang dibawa dari India. Batu bersurat bertarikh 1356 Masehi yang ditemukan di Pagar Ruyong dan Batu Bersurat (nisan) bertarikh 1380 Masehi di Minye Tujuh, Aceh, menunjukkan bahawa tulisan itu mungkin digunakan hingga abad keempat belas. Catatan pengembara Cina pula, seperti I -Tsing yang pernah singgah di Sriwijaya pada tahun 672 Masehi, serta beberapa bukti sejarah yang lain, menunjukkan wujudnya kata Melayu (Mo-lo-yu) dan luasnya penggunaan bahasa Melayu kuno sejak abad ketujuh lagi. Oleh sebab hal ini jugalah maka sarjana-sarjana kita berpendapat bahawa bahasa Melayu sudah menjadi bahasa perantaraan (lingua franca) lebih awal dari kurun ketiga belas. Profesor Ismail Husain membuat kesimpulan:
“Maka dapatlah kita anggap sebagai satu hal yang pasti, bahawa dalam abad ketujuh dan dalam abad-abad berikutnya, bahasa Melayu sudah dapat dan memang digunakan sebagai bahasa pengantar kebudayaan, sedang dalam hal-hal tertentu dipergunakan juga bahasa itu untuk keperluan sedemikian di daerah-daerah yang bukan termasuk daerah bahasa Melayu yang sebenarnya.”

Bagaimanapun, kenyataan di atas tidak menunjukkan kepada kita ketinggian bahasa Melayu ketika menggunakan huruf yang dibawa dari India itu. Batu Nisan Minye Tujuh yang bertarikh 1380 Masehi dan masih menggunakan huruf Pallava, mungkin membuktikan bahawa Bahasa Melayu sudah begitu tinggi sehingga dapat menjadi bahasa penyataan puisi yang halus” tetapi tidaklah sebanding dengan mutu bahasa pada Batu Bersurat Terengganu, yang 83 tahun lebih awal daripada Batu Nisan Minye Tujuh. Penemuan itu adalah lebih dekat dengan gaya Bahasa Melayu kini dan kemelayuan bahasanya juga jelas. Sebaliknya, gaya bahasa yang terdapat pada Batu Nisan Minye Tujuh ialah gaya bahasa pra-Islam. Lebih menarik lagi apabila kita fikirkan pandangan Profesor Syed Muhammad Naguib al-Attas (1990) yang mengatakan bahawa sebelum Islam tiba di Kepulauan Melayu, tiada terdapat suatu bahasa umum yang dapat digelar bahasa Melayu. Terdapat pendapat lain mengatakan orang Melayu sebelum kedatangan Islam dikategorikan sebagai buta huruf. Menurut beliau,
“Bahasa ‘Melayu kuno’ yang difikirkan orang itu sebenarnya tiada dapat dirumuskan sebagai Melayu, kerana zaman itu nampaknya belum timbul konsep bahasa Melayu. Prasasti-prasasti kala sebelum Islam tiada memberi kesimpulan yang cukup dan jelas terhadap bentuk sifat bahasa orang Melayu; hanya seolah-olah tulisan-tulisan yang terpahat padanya, adalah bentuk sifat bahasa campuran bahasa Pali dan lain-lain yang mungkin pula merupakan bahasa golongan tertentu yang tiada membayangkan bahasa orang sehari-hari. … Nampaknya besar pula kemungkinan bahawa pada zaman pra-Islam tiada terdapat satu tulisan tunggal, satu abjad, yang menyatu padu serta dengan kukuhnya mengikat bahasa meliputi golongan-golongan yang dapat diberi gelaran Melayu.”

                Penemuan bahan sejarah ini menjelaskan tentang kedudukan bahasa Melayu serta tulisannya sebelum kemunculan tulisan jawi. Pertama, bahasa Melayu mula tumbuh pada abad ketujuh Masehi. Kedua, abad ketujuh hingga abad kedua belas merupakan tahap perkembangannya secara evolusi. Pada tahap ini bahasa Melayu berkemungkinan menjadi bahasa perantaraan di Kepulauan Melayu tetapi belum dapat menyaingi bahasa Jawa yang terbukti lebih maju. Walaupun bahasa Melayu belum dapat menyatukan pelbagai bahasa daerah yang terdapat di Kepulauan ini, bahasa Melayu bermula, secara evolusi, menjadi bahasa ilmu pengetahuan tetapi belum boleh dianggap sebagai bahasa ilmu pengetahuan yang sebenarnya. Ketiga, bahasa Melayu menggunakan berbagai-bagai tulisan tetapi belum mempunyai satu sistem tulisan yang praktis (Edwar Djamaris, (1980) dan Ismail Hussein, (1981).
            Kemunculan tulisan jawi membuka lembaran baru dalam sejarah Bahasa Melayu. Sebuah batu bersurat dijumpai pada tahun 1899 Masihi di Sungai Teresat, kira-kira, 32 kilometer dari muara Sungai Terengganu. Pada batu itu terpahat huruf Arab-Melayu dianggap tulisan jawi tertua di Asia Tenggara. Batu bersurat itu bertarikh Jumaat, 4 Rejab 702 Hijrah bersamaan dengan 22 Februari 1303 Masihi. Inti batu bersurat itu bertulis pengumuman sepuluh fasal “syarat undang-undang”. Pengumuman itu dimulakan dengan perisytiharan supaya semua raja dan orang besar yakin dan berpegang teguh pada agama Islam dan ajaran Rasulullah SAW.
               Penemuan ini bermakna, sebelum tahun 1303 Masihi, sekurang-kurangnya di Terengganu, sudah ada orang yang mengetahui atau boleh membaca tulisan jawi. Perkara inilah dapat dirumuskan bahawa penulisan bahasa Melayu telah mengalami beberapa perubahan dan menggunakan beberapa jenis huruf yang saling berganti. Tulisan yang mula dipakai adalah tulisan Pallava yang berasal dari India. Tulisan Pallava ini kemudian mengalami perubahan. Oleh itu, timbul jenis-jenis tulisan seperti berikut Tulisan Rencong, Tulisan Pallava, Tulisan Kawi, Tulisan jawi, dan Tulisan Rumi (Hashim Hj Musa, 1996).
Menurut Amat Juhari Moain (1996) tulisan jawi telah digunakan oleh orang Melayu dalam berbagai-bagai jenis lapangan dan kegiatan penulisan. Bahkan untuk kesenian juga tulisan ini digunakan, iaitu pada seni khat bagi menghiasi mihrab, di dinding dalam masjid, batu nisan dan seumpamanya. Dalam Sejarah Melayu (Hashim Musa, 1996) dicatatkan bahawa tulisan jawi telah digunakan untuk perkara berikut:
i.   Prasasti atau batu bersurat. Contohnya prasasti Terengganu yang telah ditemui di Sungai
     Teresat, Kuala Berang, Hulu Terengganu.
ii.  Batu hidup. Tulisan ini terdapat pada batu hidup yang ditemui di Pangkalan Kempas,
      Negeri Sembilan.
iii.  Batu Nisan. Ini banyak terdapat di berbagai-bagai tempat bekas berdirinya kerajaan-
       kerajaan Islam pada zaman silam.
iv.  Mata wang, terutama wang emas dan perak. Pada mata wang ini diukir nama raja Melayu
      yang memerintah dengan menggunakan tulisan jawi seperti nama Sultan Muzaffar Shah,
      Mansur Shah dan lain-lain.
v.  Surat kiriman antara raja. Ini banyak dibuat bukan sahaja antara raja Melayu tetapi juga
     dengan raja-raja di tempat lain seperti raja Melayu dengan raja Portugal atau raja Inggeris
     atau raja-raja lain.
vi. Kitab dan buku. Jenis ini yang paling banyak terdapat sama ada dalam bentuk manuskrip
     (bertulisan tangan) atau cap batu.
vii. Surat-surat perjanjian antara raja dan negara di Alam Melayu.
iix.  Catatan-catatan pemilikan dan perdagangan terutama di pelabuhan dan kapal-kapal
       perdagangan.
ix. Surat khabar dan majalah seperti surat khabar Alamat Lankapuri, Majalah Bustan Arifin,
     surat khabar Jawi Peranakan dan majalah al-Imam.
x.  Piagam dan teks pemasyhuran. Contohnya seperti tulisan pada teks ciri yang dibacakan
      ketika melantik seseorang itu menjadi pembesar.

Hasil catatan tersebut jelas menunjukkan bahawa Tulisan jawi pada waktu itu digunakan dengan meluas dalam urusan-urusan penting sehingga dianggap satu tulisan yang hebat di kepulauan Tanah Melayu dan Nusantara. Penggunaan yang meluas itu telah menarik perhatian penulis-penulis tempatan dan luar negeri seperti W.G Shellaber (1925) untuk menulis buku Evolution of Malay Spelling, R.J. Wilkinson dan Winstedt dengan terbitan Kamus Jawi Melayu-Inggeris (1901,1903, 1913, 1939) yang masih menggunakan versi ejaan jawi tua. Sehingga kini penyelarasan Tulisan jawi dibuat dari masa ke semasa oleh tokoh tersohor jawi iaitu Ahmad bin Mathlob atau lebih dikenali sebagai Pak Mathlob. Sumbangan beliau dalam usaha memartabatkan Tulisan jawi sangat besar memandangkan kerajaan Malaysia kini semakin giat mencari satu alternatif untuk memulihkan Tulisan jawi sejak daripada peringkat sekolah rendah.