Thursday, March 17, 2011

Perkembangan dan Fungsi Tulisan Jawi

PERKEMBANGAN TULISAN JAWI DI TANAH MELAYU

Sistem tulisan dalam masyarakat Melayu telah lama wujud, iaitu bermula dari wujudnya konteks hubungan masyarakat Melayu dengan masyarakat antarabangsa. Sebahagian rumpun Melayu di Nusantara mempunyai sistem tulisan mereka sendiri, antaranya seperti huruf rencong yang digunakan oleh masyarakat Melayu Acheh. Selain dari itu, masyarakat Melayu Bugis di Sulawesi, masyarakat Melayu Jawa dengan sistem tulisan kiwi dan winggi dan masyarakat-masyarakat lain lagi yang mempunyai sistem tulisan mereka sendiri (Ahmad Farid Abdul Jalal, 2005). Penemuan batu bersurat zaman Sriwijaya seperti Batu Bersurat Kedukan Bukit (683 M.), Kota Kapur (686 M.) dan Talang Tuwo (684 M.) yang ditulis pada abad ketujuh Masihi dalam bahasa Melayu Kuno jelas menunjukkan kepada kita bahawa masyarakat Melayu pada ketika itu sudah mempunyai sistem tulisan yang tersendiri (Muhd. Bukhari Lubis, 2006:1).

Namun sekitar abad ketiga belas Masihi, Islam mula bertapak dan tersebar luas di Alam Melayu. Kedatangan Islam ke alam ini telah membawa kepada satu perubahan besar yang besar dalam sistem kehidupan masyarakat Melayu. ianya bukan sahaja mengubah sistem kepercayaan masyarakat Melayu pada ketika itu yang berpegang dengan ajaran Buddha, tetapi turut membawa kepada wujudnya sistem penulisan yang baru dalam dunia Melayu. Masyarakat Melayu tidak lagi menggunakan skrip Pavalla Selatan dari India yang telah mereka gunakan sejak berabad lamanya. Skrip baru yang berasaskan kepada skrip Arab telah dicipta dan dinamakan sebagai tulisan Jawi. Pada mulanya aksara Jawi diambil sepenuhnya dari aksara Arab. Namun untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat pada ketika itu, terutamanya untuk mempelajari agama Islam, beberapa abjad dalam bahasa Parsi telah diubah suai dan diterapkan. Menjadikan bilangan huruf Jawi sebanyak 33 kesemuanya, 28 daripadanya adalah huruf Arab dan 5 lagi dari bahasa Parsi. Antara huruf yang baru yang ditambah ialah ݘ , ڤ, ڠ, ڬ dan ڽ (Muhd. Bukhari Lubis, 2006:14). Peranan yang dimainkan oleh tulisan Jawi amat besar. Tulisan Jawi bukan hanya digunakan sebagai alat persuratan, bahkan turut berfungsi sebagai alat kepada penyebaran ilmu agama.

Di negara kita (dulunya Tanah Melayu), tulisan Jawi telah wujud sejak abad ke 13 lagi. Perkara ini dapat dibuktikan dengan penemuan tulisan Jawi pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh Jumaat 4 Rejab 703H (bersamaan 22 Februari 1303M). Namun dakwaan tersebut dikatakan kurang tepat dan tidak dipersetujui oleh sesetengah ahli sejarah. Ini kerana terdapat catatan dalam tulisan Jawi pada batu nesan yang ditemui di Permatang Pasir, Pekan mempunyai tarikh yang jauh lebih awal, iaitu hari rabu 14 Rabi’ 419H (bersamaan April/Mei 1028). Zaman kesultanan Melayu Melaka yang terkenal dengan kuasa perdagannya suatu ketika dahulu, merupakan zaman yang penting dalam pertumbuhan tulisan Jawi di Tanah Melayu. Tulisan Jawi digunakan untuk tujuan permeteraian perjanjian (undang-undang) serta dalam bidang pendidikan. Dalam pada itu banyak kitab-kitab agama yang berbentuk sejarah, hikayat, falsafah dan lain-lain lagi ditulis dengan menggunakan tulisan Jawi. Kelahiran ulama dari Tanah Melayu juga telah menarik minat masyarakat dari dalam dan luar negeri pada ketika itu untuk datang belajar ilmu agama dan juga tulisan Jawi (Ahmad Farid Abdul Jalal, 2005). Peranan yang dimainkan oleh tulisan Jawi dalam memartabatkan bangsa Melayu sangat besar. Kini, tulisan jawi telah menjdai salah satu identiti masyarakat Melayu, terutamanya di Malaysia.

Sebagaimana yang telah diterangkan oleh penulis sebelum ini bahawa tulisan Jawi telah wujud di Tanah Melayu bermula dari abad kesepuluh Masihi lagi. Pernyataan ini telah dibuktikan dengan penemuan batu nesan di Permatang Pasir, Pekan (419H/1028M) dan juga Batu Bersurat Terengganu (702H/1303M). Keadaan ini telah menunjukkan kepada kita bahawa tulisan Jawi telah mula dikembangkan peranannya. Ia bukan lagi sekadar alat yang digunakan untuk mencatat undang-undang (merujuk kepada kerajaan kesultanan Melayu Melaka yang menguasai jalan perdagangan laut), bahkan turut digunakan untuk mencatat sesuatu peristiwa-peristiwa penting berlaku dalam masyarakat. Kemudian tulisan Jawi ini mula berkembang penggunaannya dikalangan masyarakat dan di Tanah Melayu.

Perkembangan ini adalah sebagaimana berikut :

Alat Penting Dalam Urusan Pentadbiran Istana dan Adat Istiadat Raja Melayu

Tulisan Jawi juga turut digunakan dalam urusan pentadbiran dan adat istiadat raja-raja Melayu (Muhd. Bukhari Lubis, 2006:3). Pihak istana pada zaman dahulu juga menggunakan tulisan Jawi sebagai alat perakam segala aktiviti yang berkaitan dengan pentadbiran, perundangan, bahasa, hubungan dangangan antarabangsa dan diplomatik. Oleh itu tidak hairanlah istana menjadi tempat perkembangan persuratan Melayu seperti manuskrip dan kitab-kitab agama berjalan dengan rancaknya dengan menggunakan tulisan Jawi. Hal ini dapat dibuktikan dengan wujudnya pusat-pusat penulisan manuskrip di istana-istana raja dan raja-raja tersebut mempunyai jurutulis yang akan menulis jikalau mendapat perkenan daripada raja tersebut. Manakala dalam urusan perdagangan pula, tulisan Jawi digunakan untuk mencatat sesuatu perjanjian disamping menulis undang-undang kanun dalam pemerintahan mereka.

Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan 1957

Setelah sekian lama dijajah oleh bangsa asing, akhirnya Tanah Melayu telah diberi kemerdekaan oleh British pada tahun 1957. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil penat lelah para pejuang kemerdekaan yang lantang dan berani melawan pihak penjajah dari terus bermaharajalela di bumi kita ini. Bagi merealisasikan impian tersebut, seramai lima orang delegasi negara kita yang dketuai oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah berlepas ke London dan mengadakan rundingan dengan pihak British. Hasilnya, Malaysia telah diisytiharkan merdeka dengan rasminya pada tanggal 31 Ogos 1957. Apa yang menariknya, dokumen pengisytiharan kemerdekaaan telah ditulis dalam dua bentuk tulisan, iaitu satu dalam tulisan rumi dan satu lagi dalam tulisan Jawi. Penggunaan tulisan Jawi dalam surat pemasyhuran tersebut jelas menunjukkan kepada kita bahawa tulisan Jawi bukan sahaja digunakan untuk tujuan penulisan pada kitab-kitab agama dan tujuan tradisional sahaja, bahkan ianya juga digunakan untuk menulis satu dokumen yang memberi erti yang sangat besar kepada kita rakyat Malaysia (Mohd. Alwee Yusoff, 2005:26).

Penulisan Akhbar dan Majalah

Selain digunakan untuk menulis dokumen pemasyhuran kemerdekaan dan alat penting dalam sistem penradbiran, akhbar dan majalah juga turut ditulis dalam ejaan jawi. Utusan Melayu merupakan antara akhbar yang terawal di negara kita yang ditulis dengan ejaan jawi. Selain dari akhbar, banyak juga majalah-majalah yang ditulis dengan ejaan jawi antaranya ialah majalah Mastika (Mohd. Alwee bin Yusoff, 2005:26).

Tulisan Jawi di Sekolah

Sistem pendidikan awal negara kita adalah bermula dengan penggunaan tulisan Jawi. Buku-buku atau teks-teks yang menjadi bahan pengajaran dan pembelajaran ditulis dalam tulisan jawi dan ada juga yang ditulis dengan bahasa Arab (Nik Rosila Nik Yaacob, 2007:162). Institusi pendidikan formal dan tidak formal juga lebih menekankan penggunaan tulisan Jawi dalam sistem ejaan mereka. Bagaimanapun selepas negara mencapai kemerdekaan, sistem pendidikan telah dibentuk berdasarkan Laporan Jawatankuasa Pelajaran Razak. Penyusunan semula kurikulum dan program pelajaran yang berteraskan perkembangan semasa yang lebih ke arah sekular seolah-olah ingin menngantikan tulisan rumi sebagai tulisan utama dalam sistem pendidikan. Bermula dari sini, banyak buku-buku teks telah dicetak dalam tulisan rumi. Hal ini adalah tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mencapai matlamat serta objektif Dasar Pelajaran Kebangsaan yang ingin memperkukuhkan perpaduan antara kaum (Ahmad Farid Abd Jalal, 2005).

KEPENTINGAN TULISAN JAWI DALAM PENDIDIKAN ISLAM

Di Tanah Melayu, dan kemudiannya Malaysia, apabila tulisan Jawi sedikit demi sedikit kehilangan pengaruh berikutan perkembangan tulisan Rumi, isu memartabatkan tulisan Jawi mula hangat diperkatakan. Bagi masyarakat Islam, kepentingan tulisan Jawi dilatari dengan kewajipan mempelajari ilmu agama yang dituntut ke atas setiap penganutnya. Namun begitu, keistimewaan tulisan Jawi membuatkan ia mampu menarik pengikut dan penggemar dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Tulisan Jawi Sebagai Medium Asas Pengajaran Pendidikan Islam

Tulisan Jawi merupakan abjad-abjad yang telah diubah suai dari huruf-huruf Arab. Kebanyakan huruf-huruf yang diubah adalah mengikut kesusaian lidah orang Melayu bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran. Antara huruf-huruf yang diubah suai seperti huruf Ga ( ڬ) dan Cha ( چ). Untuk itu, tulisan Jawi telah dijadikan sebagai medium asas untuk pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam di sekolah-sekolah Malaysia pada hari ini, terutamanya dalam pembelajaran al-Qur'an. Matlamat pelajaran Jawi adalah untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran menulis dan membaca Jawi bagi membolehkan pelajar memahami pelbagai bidang ilmu dalam Pendidikan Islam (Nik Rosila Nik Yaacob, 2007:162).

Mengatasi Masalah Penguasaan Dalam Pembacaan Teks Jawi Dikalangan Pelajar Sekolah

Kelemahan penguasaan Jawi dalam kalangan murid bukan lagi perkara baru malahan banyak kajian telah dijalankan bagi mengenalpasti punca berlakunya keadaan tersebut. Tidak ketinggalan kajian-kajian turut dijalankan untuk melihat tahap penguasaan murid-murid dalam kemahiran. Pengenalan Program j-QAF dengan satu model khusus untuk pemulihan jawi telah mula dilaksanakan pada tahun 2005. Salah satu dari model yang terkandung dalam kurikulum j-QAF ialah Model Pemulihan Jawi yang memberi penekanan untuk memberi pemulihan terhadap murid yang tercicir dalam Jawi (Hj Maimun Aqsha Lubis, 2010:1). Kaedah yang ditekankan bagi melaksanakan P&P Model Pemulihan Jawi ini adalah untuk memperkasakan pelajar dalam bidang tilawah al-Qur’an, bidang aqidah, ibadah, Sirah Nabawi, akhlak dan jawi agar ianya lebih berkesan dan dapat dihayati serta diamalkan dalam kehidupan.


Menguasai Cabang-cabang Ilmu Dalam Bidang Pendidikan Islam

Banyak khazanah intelektual masyarakat lama disimpan, didokumentasikan, dan ditulis dalam tulisan Jawi. Malah, terdapat pemindahan budaya dan pengetahuan dari negara Islam, terutama negara Arab, seperti kesusasteraan, ilmu sains, ilmu astronomi, ilmu agama, dan ilmu matematik, yang diterjemahkan ke dalam tulisan Jawi yang mempelopori kemajuan dan inovasi budaya masyarakat Asia dan Asia Tenggara. Banyak juga kitab-kitab lama yang ditulis dalam bahasa Melayu dengan menggunakan tulisan jawi, tetapi kebanyakannya ditulis dengan menggunakan sistem ejaan jawi lama.

Menjadi Lambang Kesenian dan Identiti Umat Islam

Tulisan Jawi mempunyai sistem ejaan dan tulisan yang paling mudah, ringkas, dan tepat. Tulisan Jawi turut mempunyai nilai estetika yang tinggi, menarik, unik, dan klasik. Tulisan ini dapat dilentur dan digayakan mengikut kemahiran, kecekapan, dan ketelitian seseorang. Tulisan Jawi mempunyai kaitan yang penting dengan literasi agama dan kehidupan beragama dalam masyarakat Melayu. Rujukan utama bagi mengukuhkan akidah masyarakat Islam berasaskan al-Quran, hadis, sunah, kitab, dan sebagainya yang ditulis dalam tulisan Jawi atau bahasa Arab. Kelemahan generasi muda dalam tulisan Jawi menyebabkan literasi agama dalam kalangan generasi itu merosot. Banyak golongan muda Melayu tidak dapat membaca dan memahami kandungan al-Quran dan tidak dapat menggarap pengetahuan agama Islam dengan baik kerana kebanyakan mereka buta jawi.

Pemesongan akidah dan kedangkalan pengetahuan agama dapat berlaku kerana kelemahan dalam tulisan Jawi. Kelemahan yang dihadapi oleh generasi muda menjadi amat kritikal apabila pengajaran dan pemelajaran agama Islam di sekolah tidak lagi mengutamakan tulisan Jawi, sebaliknya disampaikan dengan menggunakan tulisan Rumi. Ada juga guru agama yang buta Jawi, iaitu tidak tahu dan tidak cekap menulis dan membaca bahan agama dan ayat al-Quran dalam tulisan Jawi. Kelemahan yang berlaku ini tidak mendapat perhatian serius daripada ibu bapa Melayu dan guru agama yang bertanggungjawab terhadap pendidikan agama, tidak dinilai dan dipantau, serta dibiarkan sebagai amalan biasa sehingga pendidikan agama di sekolah sekarang mempunyai berbagai-bagai kepincangan dan kelemahan yang sukar diatasi.

Sebagai Nadi Bagi Masyarakat Melayu Yang Sinonim Dengan Agama Islam

Kepupusan tulisan Jawi sebagai pengantar intelektual dan tradisi keilmuan masyarakat Melayu mempunyai kesan yang amat besar dalam proses pembinaan jati diri bangsa Melayu dan pengukuhan sosiobudaya bangsa itu di negara ini. Tulisan Jawi merupakan khazanah intelektual, jati diri budaya, wacana pemikiran dan kesusasteraan, serta estetika bahasa yang penting kepada pembinaan kekuatan bangsa Melayu. Tulisan itu turut menjadi medium yang menjalin keintiman hubungan dan siratulrahim ummah dan sebagai genre bahasa yang mempunyai kaitan yang amat unggul dan penting kepada jati diri dan unsur Islam yang mendasari kekuatan dan kekukuhan jati diri Melayu.

Sejak berabad lamanya, tulisan Jawi telah memainkan peranan yang amat penting dalam mendukung perjuangan kemelayuan dan keislaman. Tulisan itu bukan sahaja mempunyai kekuatan dari segi jati diri kebangsaannya, malah kekuatan simbolisme terhadap perkembangan budaya dan bahasa Melayu. Tulisan Jawi, dari segi sejarah penakatan dan perjuangan Melayu, telah memberikan sumbangan yang besar dan banyak kepada perubahan dan kemajuan bangsa Melayu. Pendidikan Melayu berkembang dan dapat disampaikan kepada orang Melayu, khususnya generasi tua dahulu, melalui tulisan Jawi. Walau bagaimanapun, tulisan itu semakin pupus apabila mula dipinggirkan daripada sistem pendidikan negara yang mengutamakan tulisan Rumi. Secara beransur-ansur, tulisan Jawi diketepikan dan tidak lagi menjadi pengantar dalam pengajaran dan pemelajaran di sekolah.

RUJUKAN

Ahmad Farid Abdul Jalal, Yaakob Isa. 2005. Tulisan Jawi : Sejarah Seni dan Warisan. Pekan: Lembaga Muzium Negeri Pahang.

Dr. Wan Ali Wan Mamat. 2006. Sejarah dan Pertumbuhan Skrip Jawi. Dlm. Muhammad Bukhari Lubis, Fatimah Salleh, Husniyati Ali, Huzaimah Ismail & Siti Fatimah Sudin (pnyt). Tulisan Jawi Sehimpun Kajian Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA), UiTM.

Hj Maimun Aqsha Lubis, Sabariah Sulaiman & Nik Mohd Rahimi Nik Yusoff. 2010. Aplikasi Teknik Permainan dan Multimedia Dalam Pengajaran dan Pembelajaran Modul Pemulihan Jawi di Bilik Darjah. Kertas Kerja Persidangan di Institut Agama Islam Negeri Medan Sumatera Utara Indonesia. Kerjasama UKM-IAN, 2 April.

Mohd. Alwee Yusoff. Perkembangan Tulisan Jawi dan Aplikasinya Dalam Masyarakat Islam di Malaysia.

Nik Rosila Nik Yaacob. 2007. Penguasaan Jawi dan Hubungannya Dengan Minat dan Pencapaian Pelajar Dalam Pendidikan Islam. Jurnal Pendidik dan Pendidikan 22:161–172.

http://generasipendidik2u.blogspot.com/2011/02/perkembangan-tulisan-jawi-di-tanah.html

1 comment: